OLLA ^.^ Terima Kasih kerana sudi melawat blog saya, Enjoy your reading :)

Friday, November 22, 2013

ANALOGI KEHIDUPAN :)

Assalamualaikum :)

     Kali ni saya ingin share satu analogi yg dihantar oleh salah seorang kawan saya.. Katanya, analogi tu dia dapat daripada sumber rahsia..hehe.. so saya pun x tau dia amek daripada mana sebenarnya or dia create sendiri ke..so, sekadar untuk kongsi2..enjoy your reading :)


Analogi Kehidupan

Kehidupan di dunia ini merupakan satu perjalanan menuju yang Maha Esa. Kehidupan yang sementara ini dipenuhi ujian dan cabaran untuk menguji keimanan seseorang. Ada yang berjaya, ada yang gagal. Ujian demi ujian mengukuhkan keimanan kita kepada Allah swt. Namun, kita harus ingat bahawa setiap ujian yang kita hadapi itu Allah swt mengetahui samada kita mampu hadapi ataupun tidak.

Dalam perjalanan kita seharian di dunia ini untuk menuju alam yang baqa', dapat kita gambarkan perjalanan kita di sebuah jalan raya. Jalan itu diibaratkan perjalanan kita, dan kenderaan yang kita naiki itu ibarat diri kita. Apa yang dapat dikaitkan dengan analogi ini ialah di jalan raya, terdapat pelbagai peraturan dan undang-undang yang mesti dipatuhi oleh semua pengguna jalan raya. Dalam pada itu, terdapat juga penguatkuasa jalan raya seperti Polis Trafik dan Jabatan Penguatkuasa Jalan (JPJ), dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Agensi-agensi ini menjalankan penguatkuasaan undang-undang jalan raya bagi memastikan kepatuhan para pemandu terhadap undang-undang jalan raya bagi memastikan kelancaran dan keselamatan jalan raya untuk kegunaan umum. Namun, dalam kehidupan kita terdapat malaikat yang menjalankan penguatkuasaan terhadap kita.

Mengapa semua pemandu diwajibkan memakai tali pinggang keselamatan (seat belt)? Sejumlah besar pemandu tidak gemar memakai tali pinggang keselamatan kerana menganggap perkara ini sebagai remeh dan tidak penting. Realitinya, memakai tali pinggang keselamatan itu dapat menjamin keselamatan pemandu sekiranya berlaku kemalangan jalan raya. Saman dan tindakan undang-undang akan dikenakan kepada para pemandu yang gagal mematuhi peraturan ini. Pihak penguatkuasa telah menyampaikan amaran yang jelas tentang pemakaian ini supaya para pemandu patuh dalam memastikan keselamatan mereka. Namun, masih ramai yang ingkar. Sekiranya berlaku kemalangan, pemandu yang tidak memakai tali pinggang keselamatan ini yang akan mengalami kecederaan yang parah atau mungkin maut. Begitu juga dalam perjalanan kita menuju alam yang baqa'. Allah swt telah memberikan jalan dan haluan yang wajib diikuti oleh sekalian manusia. Namun, masih ada yang ingkar. Kita dapat melihat perbezaan antara yang patuh suruhan Allah swt dengan yang ingkar suruhan Allah swt. Bagi yang patuh, kehidupan mereka aman dan tenteram serta selamat dalam menjalani perjalanan kehidupan. Bagi yang ingkar, mereka terkandas dan mengalami pelbagai kesukaran dalam menjalani kehidupan. Oleh itu, mengapa kita masih ingkar?

Jika kita berada di jalan raya, kita dapat melihat penguatkuasa secara fizikal. Cuba kita renungkan, perbezaan tabiat memandu sekiranya terdapat operasi penguatkuasaan trafik dengan tiada. Semestinya semasa operasi penguatkuasaan trafik di jalankan, semua pemandu akan mematuhi peraturan jalan raya dan memandu secara selamat. Begitu juga perjalanan kehidupan kita. Sekiranya kita dapat melihat para malaikat menjalankan perintah Allah dalam mencatat amalan baik dan buruk kita, pastinya kita akan berkelakuan baik.  Namun sebenarnya kita lupa bahawa malaikat sentiasa menjalankan operasi memerhatikan kita dan mencata segala perbuatan baik dan buruk kita tanpa leka walaupun sesaat. Jika kita dapat menipu penguatkuasa, namun jauh sekali kemampuan kita untuk menipu para malaikat. Sebenarnya, kita dapat merasakan kita diperhatikan oleh para malaikat sekiranya kita patuh dan taat dengan segala perintah Allah swt. Tidak perlu kita melihat sesuatu secara fizikal sekiranya kita benar-benar taat kepada sesuatu perkara.

Jika kita melakukan kesalahn di jalan raya, kita akan mendapat saman atau dikenakan tindakan undang-undang. Benar? Sama seperti kehidupan kita, kita akan dikenakan hukuman dan balasan atas perbuatan kita di dunia. Mungkin kita tidak dapat melihat bentuk balasan yang dikenakan terhadap kita atas perbuatan kita di dunia, namun hakikatnya perkara itu nyata.


Oleh itu, kita haruslah mengukuhkan keimanan kita dalam kehidupan seharian agar kita dapat merasakan kita sentiasa diperhatikan oleh penguatkuasa yang diutuskan oleh Allah swt. Sekiranya kita boleh berkelakuan baik sekiranya melalui operasi penguatkuasa daripada kalangan manusia yang bermusim, mengapa kita tidak boleh berkelakuan baik tatkala kita sentiasa diperhatikan oleh penguatkuasa Allah swt yang tidak pernah terlepas memerhatikan kita. Fikir dan renungkan.


Setakat ini saja untuk kali ni..Sekian :)

No comments:

Post a Comment